Wee Ka Siong
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan melulu terhadap insiden yang melibatkan akhbar The Star.
Katanya, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berkenaan insiden tersebut.
Timbalan Presiden MCA itu turut berkata, dalam keadaan pembaca yang mempunyai pelbagai ragam, semua pihak tidak perlu menuding jari kepada sesiapa.

“Kita biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan. Saya rasa editorial dan pengurusan The Star sudah dipanggil KDN untuk memberi kenyataan. Keputusan di tangan pengarah urusan untuk tindakan terhadap editor, kita hormat apa saja keputusannya.

 “Saya percaya The Star tiada niat untuk melabel orang Islam sebagai pengganas. Cuma persepsi terbentuk melalui gambar, tajuk dan tulisan dari berita itu. Pengurusan The Star buat keputusan dan saya harap mereka lebih peka selepas ini, bukan saja kepada The Star, tetapi kepada semua akhbar.
“(Dari segi persepsi) Banyak sudut kita boleh lihat, ada pembaca tidak terkesan, ada pembaca hanya baca tajuk besar dan gambar, ada juga pembaca yang lebih membaca secara terperinci. Jadi, kita tidak boleh buat kenyataan secara umum.
“Kita tidak boleh salahkan sesiapa, sama macam sekarang. Tidak salah saya letak botol minuman atas meja depan orang Islam berpuasa, tapi saya tidak berbuat demikian kerana jaga sensitiviti,” katanya.
Tambah Wee, pihak partinya tidak pernah mempengaruhi akhbar tersebut sama ada dalam pengurusan syarikat mahupun di meja pengarang.
“Seperti saya kata, The Star menjalankan operasi mereka secara profesional. MCA tidak pernah mempengaruhi sama ada dalam pengurusan atau pun sidang pengarang The Star,” katanya. – MalaysiaGazette