KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pahang secara peribadi mencadangkan kerajaan membuat keputusan melarang penyajian minuman keras dalam semua pesawat Malaysia Airlines (MAS).
ADUN Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, jika merokok dilarang di dalam pesawat, mengapa tidak minuman keras.
Katanya, kalau perokok tegar boleh bersabar dan menahan diri dari merokok berjam lamanya, mengapa tidak boleh bagi mereka yang biasa minum arak.
“Ini pandangan dan cadangan peribadi saya. Saya berpendapat, sikit pun tidak akan merugikan MAS jika arak tidak dihidangkan, malah penumpang tidak perlu bimbang keselamatan mereka terancam kerana ada yang mabuk dan pada masa sama MAS juga boleh menjimatkan kos,” katanya.
Beliau mengulas kejadian pesawat MH128 yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Tullamarine di Melbourne semalam, berikutan tindakan seorang penumpang dipercayai mabuk cuba memasuki kokpit.
Kejadian itu turut mendapat ulasan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi yang dilaporkan berkata, suspek dipercayai warga Sri Lanka yang membuat gangguan itu dalam keadaan mabuk. – MalaysiaGazette