Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan empat hari bermula 11 Okt untuk perbicaraan kes saman fitnah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terhadap Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli berhubung kenyataannya mengenai bayaran gratuiti kepada pesara tentera.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Ahmad Syateer Izzat mewakili LTAT selaku plaintif dan peguam Saiful Izham Ramli mewakili Mohd Rafizi selaku defendan dalam kes saman berkenaan.

Saiful Izham ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 11 Okt, 18 hingga 20 Dis untuk perbicaraan dan 3 Julai ditetapkan untuk pengurusan kes.

LTAT memfailkan saman itu pada 6 Mei 2016 dengan mendakwa Mohd Rafizi dalam laman blog dan laman Facebooknya pada 21 Mac 2016 telah mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Bayaran gratuiti pesara angkatan tentera lewat; LTAT perlu dedahkan risiko kewangan akibat 1MDB’.

LTAT juga mendakwa pada 24 Mac 2016 melalui laman sesawang Malaysiakini, Mohd Rafizi telah mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Rafizi: I have document showing LTAT’s link to 1MDB’ dan dia juga didakwa mengulangi kenyataannya dalam laman Facebooknya bertajuk ‘Laporan ketua audit negara ke atas 1MDB mengesahkan kesan masalah kewangan 1MDB ke atas LTAT” pada 28 Mac 2016.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Rafizi antara lain membawa maksud bahawa LTAT tidak menjaga faedah dan kebajikan pesara tentera serta tidak mempunyai wang untuk membayar pesara tentera.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan, dan perintah injunksi untuk menghalang atau mencegah defendan, pegawai atau ejen atau pekerja defendan atau sebaliknya daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast