Lagi kes pandu lawan arus di lebuh raya

JOHOR BAHRU – Video mengenai sebuah Perodua Myvi melawan arus yang didakwa berlaku di Lebuh Raya PLUS berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kulai arah utara menjadi tular di laman sosial hari ini.

Video tersebut yang berdurasi satu minit 26 saat itu memaparkan kenderaan tersebut dipandu dengan laju dan berbahaya di bahagian kanan jalan.

Kejadian yang didakwa berlaku pada pukul 8.20 pagi itu dipercayai dirakam oleh beberapa pengguna lebuh raya berkenaan sebelum dimuat naik dalam laman Facebook (FB) dan turut dikongsi di WhatsApp.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Razak Md Said berkata sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

“Semakan juga dibuat dan mendapati pihak PLUS, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) serta Unit Peronda Lebuh Raya (HMPV) Bukit Aman juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Video tersebut telah mendapat lebih 230,000 tontonan dan hampir 4,000 perkongsian di FB.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast