KUALA LUMPUR – Hakim berhak dan berkuasa untuk menjatuhkan hukuman sebatan di khalayak ramai berdasarkan budi bicaranya.
Bagi peguam, Dr Shamsher Singh Thind, hukum syarak sememangnya membenarkan hukuman itu dilaksanakan di hadapan khalayak ramai.
Malah hukuman tersebut tidak hanya ada di dalam enakmen undang-undang negeri Terengganu malah turut terkandung dalam undang-undang syariah di semua negeri.
“Dua seksyen yang memperuntukkan kaedah pelaksanaan hukuman sebatan di Terengganu ialah seksyen 125 dan Seksyen 126 Syariah Criminal Procedure (Terengganu) Enactment 2001 tetapi kedua-dua seksyen ini senyap berkenaan dengan tempat di mana hukuman tersebut hendak dilaksanakan.
“Oleh itu, rujukan dibuat kepada Seksyen 230(2) Syariah Criminal Procedure (Terengganu) Enactment 2001: In the event of a lacuna or where any matter is not expressly provided by this Enactment, the Court shall apply Hukum Syarak.
“Oleh itu, saya percaya tiada pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh hakim tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, meskipun terdapat pertikaian mengenai hukuman tersebut, harus diingat pesalah yang akan dihukum hari ini telah melakukan kesalahan untuk kali ketiga.
“Jangan kita lupa, ini adalah kali ketiga penama tersebut mengulangi kesalahan yang sama,” tambahnya.
Tidak berniat untuk menzalimi namun sebaliknya beliau berkata, sebatan di khalayak ramai lebih lembut dengan niat memberi pengajaran kepada pesalah.
“Ada pihak pula kata Kerajaan Negeri Terengganu atau Pas menzalimi rakyat. Untuk makluman semua, hukuman sebatan dalam jenayah syariah tak sama dan lebih lembut berbanding dengan sebatan dalam kes jenayah sivil.
“Pakaian pesalah tak dilondeh. Kulit pesalah tidak dikoyakkan. Rotan juga jauh lebih nipis berbanding dengan rotan dalam kes jenayah sivil dan hukuman sebatan ini ada dalam undang-undang syariah di semua negeri dalam Malaysia!,” tegasnya.
Sehubungan itu, Shamser berkata, tidak wajar segelintir pihak membangkitkan isu hak asasi semata-mata untuk menyebelahi penjenayah kerana hukuman tersebut tidak melanggar mana-mana aspek perundangan.
“Janganlah kita bangkitkan isu hak asasi manusia hanya semata-mata untuk “menyelamatkan” penjenayah sahaja. Bak kata pepatah orang putih, when everything else has failed, let the criminal law take its course,” katanya lagi.
Hari ini, Mohd Affendi Awang, 42, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai selepas solat Jumaat.
Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Hukuman akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah dengan kehadiran seramai 70 individu sahaja yang dibenarkan.
Dalam masa yang sama, individu yang hadir ketika hukuman itu nanti tidak dibenarkan membuat rakaman.
Difahamkan, polis akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi di bawa masuk ke ruangan hukuman.
Semalam, Badan Peguam Malaysia menggesa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Terengganu menyemak semula dan meminda undang-undang yang membenarkan hukuman sebat di khalayak ramai dilaksanakan.
Presiden Badan Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata walaupun Badan Peguam Malaysia mengiktiraf kepentingan menegakkan undang-undang yang memelihara moral awam dan keharmonian masyarakat, hukuman-hukuman ini juga perlu mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang, Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia. – MalaysiaGazette
















