KUALA LUMPUR – Pesawat MH128 yang terpaksa berpatah balik ke Melbourne semalam akibat gangguan seorang penumpang dijangka pulang ke Malaysia hari ini selepas pemeriksaan segala aspek keselamatan selesai dijalankan sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pesawat itu menjalani pemeriksaan semula sepenuhnya melibatkan bagasi penumpang, barang kargo dan juga saringan keselamatan penumpang secara rapi sepanjang malam tadi.
“Jadi segala proses saringan keselamatan itu akan mengambil sedikit masa.
“Lahgipun saya tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai tempoh waktu pesawat itu kembali ke Malaysia tetapi akan mengeluarkan kenyataan nanti mengenai kepulangannya, tetapi MH128 dijangka kembali secara selamat hari ini,” katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Melbourne, Australia ke Kuala Lumpur itu tepaksa berpatah balik selepas salah seorang penumpang warga Sri Lanka dalam mengamuk dan cuba memasuki kokpit.
Menurut Tiong Lai, penumpang tersebut ditahan pihak berkuasa Australia dan siasatan rapi terhadap tindakanya itu sedang dilakukan.
Katanya, semua penumpang yang terkandas di sana akibat insiden itu telah pun disediakan segala kemudahan penginapan, makanan dan segala bantuan lain yang diperlukan oleh MAS.
“Saya bersyukur tiada sebarang insiden tidak diingini dalam kejadian semalam. Kita mementingkan keselamatan penumpang dan pesawat oleh kerana tindakan seorang lelaki warga Sri Lanka itu,” ujranya.
Ditanya sama ada penumpang yang ditahan itu berkemungkinan berkait rapat dengan soal keganasan, Tiong Lai yang juga Presiden MCA menafikannya.
“Lagipun kami tak tahu ia keganasan atau tidak sebab dia sedang disiasat pihak berkuasa di Melbourne. Kita tunggu perkembangan siasat itu nanti.
“Kita tidak akan kompromi dalam hal ini kerana ia perkara sangat serius melibatkan soal keselamatan penumpang dan pesawat yang sentiasa kita utamakan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette