Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbincang dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksport Negara di Bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau gembira dengan prestasi kukuh ekonomi Malaysia dalam suku pertama tahun ini.

Bercakap pada Mesyuarat Majlis Eksport Negara di sini hari ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.6 peratus dengan penggunaan swasta tinggi dan pelaburan sebagai pemacu utama pertumbuhan disokong oleh prestasi bertambah baik sektor luar.

“Malaysia terus mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM18.9 bilion,” katanya.

Najib berkata kedua-dua eksport dan import berkembang pada 21.4 peratus dan 27.7 peratus, masing-masing kepada RM224.7 bilion dan RM205.8 bilion, dalam suku pertama 2017.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan yang dilantik sebagai anggota Majlis Eksport Negara.

— BERNAMA



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast