KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani yang diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Selangor dikatakan berada di ibu kota untuk menyelesaikan urusan yang berkaitan dengan kemelut kedudukannya sebagai wakil rakyat.
Beliau dikatakan masih mempunyai peluang untuk menyelesaikan masalah itu hari ini, sebelum Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub menyerahkan surat perisytiharan kekosongan kerusi DUN Nenggiri kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Ahad ini.
Sumber memberitahu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga telah mengarahkan Setiausaha UMNO Bahagian berbincang dengan Mat Yusoff bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan.
Mat Yusoff dikatakan mempunyai peluang untuk menyelesaikan kesnya hari ini kerana Jumaat adalah hari cuti di Kelantan dan hari bekerja di Kuala Lumpur serta Selangor.
ADUN itu yang dikatakan berada di Kuala Lumpur semalam dalam perjalanan pulang ke Gua Musang, tetapi terpaksa berpatah balik ke ibu kota kerana diberitahu beliau masih berpeluang untuk menyelesaikan masalah itu sekiranya dapat menguruskannya hari ini.
“Rakyat dan rakan beliau sudah menunggu di kawasan (Nenggiri) untuk memberi sokongan dan semangat kepadanya, tetapi akur tindakan pemimpin itu terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur,” kata sumber berkenaan kepada MalaysiaGazette.
Semalam, Abdullah mengisytiharkan berlaku kekosongan kerusi DUN Nenggiri selepas Mat Yusoff, ADUN Barisan Nasional (BN) diisytiharkan muflis.
Menurut Speaker DUN Kelantan itu, pihaknya menerima surat mengenai status ADUN Nenggiri dari Jabatan Insolvensi Selangor pada 28 Mei lalu.
Mengikut Perkara 31 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh kerajaan Kelantan menyatakan ‘dengan tertakluk kepada syarat-syarat perkara ini, seseorang itu tidak layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri jika ia muflis yang belum selesaikan lagi’.
Mat Yusoff bertanding DUN Nenggiri pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan memenangi kerusi itu sehingga PRU 13 pada tahun 2013. – MalaysiaGazette