BUTTERWORTH – Belum pun reda kes remaja perempuan memandu menyongsang arus sehingga membunuh seorang lelaki awal Mac lalu, satu lagi kejadian serupa didakwa berlaku malam semalam.
Kali ini dipercayai berlaku di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) menuju arah Butterworth di sini membabitkan sebuah kereta yang juga didakwa dipandu seorang wanita.
Kejadian itu sempat dirakam penunggang motosikal dan videonya yang berdurasi selama kira-kira 40 saat kini menjadi viral di laman sosial.
Menurut satu laman berita di Facebook, kereta sedan berwarna kelabu itu dipandu di lorong paling kanan laluan bertentangan sehingga mengundang rasa cemas pemandu lain yang turut membunyikan hon.
“Lagi kejadian melawan arus di Lebuhraya BKE yang dirakamkan kira-kira pukul 10.30 malam semalam. Suspek pemandu wanita berumur 30-an dirakamkan melawan arus dari Tol Sungai Nyior ke Seberang Jaya.
“Syukurlah tidak berlaku tragedi macam tempoh hari. Apa punca dia bertindak sedemikian kita pun tidak pasti,” demikian seperti dipetik menerusi status laman berita Facebook itu.
Bagaimanapun, tidak berlaku kemalangan membabitkan kenderaan itu sepanjang rakaman video berkenaan dan nasib kenderaan tersebut serta pemandunya tidak dapat dipastikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut setakat ini.
“Sehubungan itu, kita menggesa saksi kejadian dapat menyalurkan maklumat supaya siasatan lanjut boleh dijalankan,” katanya.
Pada 14 Mac lalu, seorang remaja perempuan yang dipercayai baru pulang berhibur memandu melawan arus di Kilometer 134, Lebuh Raya Utara Selatan dari Seberang Jaya menghala Kepala Batas di sini sehingga bertembung dengan beberapa buah kenderaan lain dan membunuh seorang lelaki. – MalaysiaGazette