Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar mana-mana individu agar menamakan semua 1,000 ahli parti itu di negeri Perak yang bertindak keluar parti baru-baru ini.

Katanya, jumlah itu mungkin sekadar rekaan semata-mata bagi membayangkan parti setahun jagung itu goyah di peringkat negeri itu.

“Beritahu saya di mana 1,000 orang yang tinggalkan parti itu? Perkara sebenarnya, hanya puluhan yang keluar,” katanya memetik laporan sebuah portal hari ini.

Tindakan keluar parti itu katanya berhubung kait dengan rasa tidak puas hati segelintir individu di negeri itu dengan lantikan pengerusi PPBM negeri itu yang ditentukan oleh kepimpinan pusat.

PPBM Perak sebelum ini melantik Faizal Azumu bagi mengetuai parti di peringkat negeri itu.

“Sebenarnya, ini mungkin kerja beberapa orang yang tidak gembira dengan keputusan kepimpinan pusat PPBM, bukan kerana saya sahaja. Saya tahu siapa dalangnya, siapa penyebabnya,” katanya mengulas lanjut.

Muhyiddin berkata demikian ketika berada di Pulau Pinang bagi majlis berbuka puasa di Masjid Ar-Raudah di Pulau Betong, Balik Pulau semalam.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut berkata selaku presiden parti, beliau tidak tergugat dengan dakwaan itu

Pada beliau, ramai lagi individu yang ingin bersamanya dan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Jumaat lalu, lebih 1,000 ahli PPBM Perak didakwa keluar parti yang diketuai Ketua PPBM Bahagian Ipoh Timur Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua PPBM Bahagian Teluk Intan Jemaat Yaacob.

Tindakan itu diambil selepas mendakwa Muhyiddin gagal menyelesaikan konflik di peringkat nasional dan negeri walaupun diberi masa 1 minggu untuk menyelesaikannya. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast