Fathul Bari Mat Jahaya.

KUALA LUMPUR – Pembuli yang terlibat dalam menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan tidak terlepas daripada hukuman jika didapati bersalah, gesa Dr. Fathul Bari Mat Jahya.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu menyatakan kesesalan berhubung kes kematian tersebut yang sepatutnya tidak berlaku dalam sebuah universiti yang terkenal dengan disiplin dan etika dikalangan pelajarnya.

“Sangat mengejutkan saya, kes buli atau raging berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) yang sangat menekankan soal displin dan etika.

“Jika benar seramai 30 orang membuli, ia bukanlah merupakan jumlah yang sedikit dan sama sekali tidak boleh dipandang remeh,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Rentetan kes terbaharu ini, Fathul Bari menggesa supaya modul dan silibus pengajian universiti berkaitan nilai murni dan akhlak perlu dikaji semula.

“Persoalannya bagaimanakah dgn penerapan nilai murni dan akhlak di UPNM/ALK dan di IPT secara umumnya?

“Saya tidak merujuk kpd program agama atau kerohanian, sebaliknya modul dan silibus pengajian. Mohon dikaji semula keberkesanannya dan pemerkasaannya,” katanya.

Fathul Bari juga mahu pihak berwajib mengambil serius saranan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya siasatan lengkap disiapkan segera.

“Saya menggesa pihak berwajib mengambil serius saranan Menteri Pertahanan supaya dilakukan siasatan dengan kadar segera serta memastikan siapapun tidak terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah.

“Juga ketelusan dalam siasatan supaya hak Zulfarhan rahimahullah dan ahli keluarganya terbela,” ujarnya.

Pegawai kadet laut tahun tiga UPNM itu ditemui dengan kesan melecur dipercayai ditekap dengan seterika wap di bahagian dada, tangan dan kakinya.

Sementara itu laman portal Berita Harian melaporkan, polis menahan 36 individu malam tadi terdiri daripada penuntut UPNM dan orang awam untuk siasatan bagi kes itu.

Menerusi siasatan awal, polis mendapati wujud unsur penderaan hingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette