Ranhill SAJ Sdn Bhd menerima geran padanan lebih RM120 juta daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof di bawah Program Pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan.

PUTRAJAYA – Pembekal air terawat Johor, Ranhill SAJ Sdn. Bhd., menerima peruntukan lebih RM120 juta di bawah Program Pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan.

Syarikat itu menerima pendanaan tersebut menerusi bayaran imbuhan balik daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Ketua Pegawai Operasi Ranhill SAJ, Khairul Effendy Tusam, berkata suntikan peruntukan itu membolehkan projek-projek berimpak tinggi dan mampan dilaksanakan bagi kepentingan pengguna di seluruh Johor.

“Pencapaian kadar NRW sebanyak 24.1 peratus yang dicapai pada tahun 2023 merupakan yang terendah dalam tempoh lima tahun, berbanding sasaran yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu 24.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menurut Khairul, kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan syarikat dalam mengoptimumkan kecekapan pengurusan air terawat.

Katanya, dana yang diterima itu akan turut digunakan bagi penggantian paip-paip lama, pemasangan peralatan mengesan kebocoran, serta peluasan kawasan pengukuran meter daerah (DMA).

Usaha itu dijangka mampu meningkatkan kecekapan pemantauan sistem bekalan air kepada lebih empat juta pelanggan di seluruh Johor, tambahnya.

Geran tersebut merupakan inisiatif strategik kerajaan bagi merangsang transformasi industri air negara. Ia diberikan kepada operator air yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek kecekapan dan kelestarian air.

Dua lagi operator pembekalan air, iaitu Air Selangor (AiS) dan Syarikat Air Terengganu (SATU), turut menerima geran padanan pada majlis tersebut.

Penyerahan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast