KUALA LUMPUR – Kenaikan harga keperluan bahan mentah dan makanan tidak akan berlaku sewenang-wenangnya jika kementerian serta agensi berkaitan memandang serius tentang rungutan rakyat.

“Masalahnya sekarang semua pihak tidak serius. Hari-hari pengguna merungut tetapi siapa yang kisah kerana mereka tahu pengguna akan beli juga untuk hidup. Lagipun, pengguna tidak ada pilihan. Ikan naik, ayam naik, sayur naik. Macam mana pun kena beli.

“Tetapi kalau semua pihak bersungguh-sungguh mendengar rungutan pengguna, sudah lama isu kenaikan harga ikan, sayur atau barang keperluan lain dapat ditangani,” kata Penasihat FOMCA, Prof. Datuk Dr. Hamdan Adnan kepada MalaysiaGazette

Hamdan Adnan

Beliau mengulas mengenai kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus, selain harga sayur-sayuran dan ayam juga melonjak sejak awal Ramadan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang mengulas mengenai kenaikan itu mendakwa, lonjakan harga itu disebabkan oleh orang tengah dan bukan berpunca daripada kekurangan bekalan.

Datuk Seri Irmohizam Ibrahim mengakui kenaikan harga ikan tidak munasabah kerana jumlah pendaratan ikan di kompleks pendaratan seluruh negara meningkat ketika ini.

Hamdan yang berpengalaman berdepan dengan isu pengguna semasa menjadi Presiden FOMCA berkata, sejak dulu-dulu pun memang orang tengah atau peniaga akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang menjelang perayaan atau sambutan.

Sambil memberi contoh, Hamdan berkata, harga ikan bawal putih pernah dijual RM200 sekilogram menjelang Tahun Baru Cina pada tahun 1990an di Klang.

Tetapi oleh kerana kementerian dan agensi-agensi ketika proaktif, masalah itu dapat ditangani cepat dengan meletakkan ikan itu dalam barangan kawalan.

“Trend kenaikan dari dulu sama sahaja tetapi mengapa pihak-pihak terlibat tidak mengkaji pola-pola kenaikan itu. Kalau kajian sentiasa dibuat, lonjakan harga ikan disebabkan orang tengah dapat dibendung sebelum Ramadan,” tegasnya.

Hamdan menegaskan, Malaysia tidak pernah kekurangan undang-undang untuk dikuatkuasakan bagi membendung amalan pengambilan untung secara berlebihan oleh pembekal atau peniaga.

Lantaran itu, tidak ada alasan oleh kementerian atau agensi-agensi yang memantau atau mengawal barangan untuk bertindak ke atas peniaga yang rakus.

“Kalau undang-undang yang ada pun masih tidak mencukupi, mana-mana pihak bebas untuk mencadangkan undang-undang baharu di Parlimen.

“Sekarang ini, yang kita hendak tahu ada tak kementerian atau agensi yang diberi peranan oleh kerajaan menjalankan tugas mereka sebaiknya?

“Jangan sibuk-sibuk kongsi gambar turun padang di laman sosial tetapi tugas hakiki tidak dilaksanakan. Kalau kata buat, mengapa pengguna masih mengeluh, masih merintih?” katanya. – MalaysiaGazette