Keaadan sebenar kurma yang didakwa berulat daripada Facebook Elis Murtafiah Elis

KUALA LUMPUR – Sehari selepas syarikat pengedar kurma terkemuka, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) memberi jaminan kurma di gudang dan pusat pengedaran syarikatnya bersih dan suci daripada sebarang pencemaran, hari ini viral sebuah video kurma berulat di Facebook.

Dalam video 23 saat itu, dipaparkan terdapat ulat di dalam  kurma berkenaan yang menjadi juadah berbuka seorang individu.

Elis Murtafiah Elis dalam rakaman video berkenaan menunjukkan terdapat beberapa ekor ulat keluar dari kurma berkenaan ketika beliau mahu menjadikan buah tersebut juadah berbuka.

Entri berkenaan juga turut diletakkan beberapa kepingan gambar produk berkenaan yang tertulis ‘Wasem’ iaitu salah satu produk keluaran Yusof Taiyob.

Hampir 200,000 pelayar Facebook sudah menonton video berkenaan di Facebook.

Semalam, Datuk Seri Yusuf Taiyoob selaku pengarah urusannya mendakwa kurma yang ditempatkan di gudang dan pusat pengedaran syarikatnya sentiasa disimpan dalam keadaan sejuk antara 0 hingga 2 celsius.

Malah ia turut dikendalikan secara bersih dan teratur, sekali gus tiada masalah dari segi ancaman serangga, berbau atau buah rosak.

Kebiasaannya menurut Yusuf, kerosakan berlaku apabila pembeli, pengedar, pekedai dan pengguna menyimpan kurma dalam keadaan suhu biasa dan bukannya di dalam peti sejuk. -MalaysiaGazette.