KUALA LUMPUR – Dewan Muslimat Pas Malaysia (DMPM) memandang serius kejadian pencerobohan dalam pesawat Malaysia Airlines baru-baru ini mahu syarikat penerbangan itu menghentikan khidmat penyediaan arak kepada para penumpang.
Ketuanya, Nuridah Mohd Salleh berkata, Malaysia Airlines tidak perlu ragu-ragu untuk melaksanakan usaha mulia itu kerana pengharaman arak oleh Islam telah pun ditetapkan sejak lebih 1,400 tahun dahulu dan terbukti manusia hidup tenang tanpa minuman itu.
“Perkhidmatan penerbangan tanpa arak juga telah menjadi amalan oleh syarikat penerbangan seperti Brunei dan Arab Saudi. Hal ini jelas menunjukkan mereka tidak mengalami sebarang kerugian, bahkan semakin mendapat tempat di hati penumpang termasuk yang bukan Islam.
“Sebaliknya, dengan mengamalkan minuman arak, hidup manusia menjadi lintang-pukang seperti manusia tidak bertamadun dan seterusnya akan memberikan kesan buruk kepada individu tersebut, keluarga dan masyarakat sekeliling,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Dalam kejadian baru-baru ini pesawat MH128 dari Melbourne, Australia ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik semula ke Lapangan Terbang Melbourne selepas seorang penumpang mendakwa membawa bahan letupan dan cuba menceroboh kokpit.
Penumpang lelaki dari Sri Lanka itu dipercayai dalam keadaan mabuk selepas minum arak yang disediakan krew pesawat berkenaan turut mendakwa membawa bahan letupan.
Lelaki itu, bagaimanapun berjaya ditumpaskan oleh beberapa penumpang serta merebahkannya ke lantai dan mengikat tangan suspek.
Menurut Nuridah, DMPM mendoakan kejayaan Malaysia Airlines serta dimurahkan rezeki pada masa akan datang sekiranya melaksanakan cadangan untuk memberhentikan perkhidmatan penyediaan arak kepada penumpang.
Beliau percaya cadangan memberhentikan penyediaan arak juga akan menjadi berita gembira bagi pekerja Malaysia Airlines yang beragama Islam.
Beliau berharap Malaysia Airlines bertanggungjawab untuk sama-sama membawa nama baik Malaysia di mata dunia agar lebih dihormati dan disegani. – MalaysiaGazette