KUALA LUMPUR – Perodua Bezza 1.0L transmisi automatik dilancarkan di pasaran Sri Lanka.
Dalam kenyataannya di sini hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, walaupun jenama tersebut boleh dikira kecil di Sri Lanka namun beliau nampak ia mempunyai potensi besar sejajar dengan pertumbuhan negara berkenaan.
Sri Lanka merupakan pasaran eksport terbesar Perodua dengan menyaksikan sejumlah 14,000 unit kenderaan telah dijual antara 1997 dan Mei 2017.
Setakat ini, pengedar rasmi Perodua, Unimo Enterprises Ltd. telah mengimport dan menjual 1,400 model Axia tahun lepas dan kini membawa masuk model Bezza.
“Kami percaya Bezza akan diterima baik di Sri Lanka kerana kereta ini mempunyai semua ciri-ciri yang menarik dan sesuai dengan pelbagai golongan.
“Ia memiliki ruang yang luas, direka dengan baik, jimat minyak dan versatile.
“Kesemua ini adalah kombinasi pemenang anugerah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Unimo, Chanaka Yatawara.
Bezza dijual pada harga 3.69 juta rupee Sri Lanka (RM103,162.29).
Sejak 1997, Perodua telah mengeksport lima model ke Sri Lanka iaitu Kancil, Kenari, Kelisa, Viva dan Bezza. – MalaysiaGazette