Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menggesa Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad masuk campur tangan bagi menangani kemelut antara Tan Sri Isa Samad dan Datuk Zakaria Arshad untuk mengelak ia menjadi lebih buruk.

Puad berkata, sekiranya isu antara Pengerusi Felda Global Ventures (FGV), Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif, Zakaria itu tidak diselesaikan ia akan menyebabkan kejatuhan harga saham FGV kerana ‘defisit kepercayaan’ dan Shahrir tidak boleh terlalu berdiam diri.

“Justeru tunggu apa lagi. Kedua duanya kena letak jawatan supaya tidak berlaku ‘Trust deficit’ yang boleh mengakibatkan harga saham FGV jatuh menjunam.

“Semoga Pengerusi FELDA Tan Seri Shahrir Samad tidak terlalu lama berdiam diri,” kata Puad dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kemelut kedua-dua pemimpin FGV tersebut selepas Isa mengumumkan arahan kepada Zakaria bercuti tanpa tempoh, dipercayai berkaitan urusniaga membabitkan Safitex dan anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn. Bhd.

Beliau melahirkan rasa dukacita terhadap episod yang melanda Isa dan Zakaria yang menyebabkan imej agensi penting negara yang menjaga nasib dan masa depan peneroka itu tercalar.

“Pertelingkahan yang menjadi peperangan terbuka antara Tan Sri Isa Samad dan Datuk Zakaria Arshad amat mendukacitakan.

“Ini episod memalukan kerana amat ketara sekali tidak ada musyawarah sesama mereka. Mana mungkin mereka boleh bekerjasama selepas ini. Apakah ia akan menjadi fenomena berterusan dalam pengurusan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu?

“Apakah selepas ini akan ada lagi episod pertelingkahan antara Pengerusi dan CEO atau Ketua Pengarah menyebabkan salah satu daripadanya dipaksa mengambil cuti atas alasan untuk siasatan dalaman yang sebenarnya proses pemecatan atau disuruh meletak jawatan?” katanya.

Puad mencadangkan jalan penyelesaian yang terbaik adalah kedua-dua mereka meletak jawatan secara sukarela.

“Sewajarnya kedua dua mereka meletak jawatan secara sukarela. Ambil jalan yang lebih bermaruah,” katanya.

Menurutnya, mungkin sudah sampai masanya muka baharu diambil untuk mengambilalih FGV agar keutamaan para peneroka terbela.

“Biarkan muka baru dan tenaga baru mengambil alih dan meneruskan usaha agar FGV menguntungkan ‘shareholder’ terutamanya para peneroka.

“Kedua-duanya tidak perlu menunggu campur tangan Perdana Menteri. Ambil jalan mengalah. Letak jawatan segera. Mereka berdua perlu dipisahkan. Biar mereka berada di tempat baru tetapi berlainan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast