Mohammad Hussin

KUALA LUMPUR – Para pelabur Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) kini boleh melakukan urus niaga dengan hanya menggunakan kad pengenalan dan nombor akaun baharu 12 digit sahaja tanpa perlu membawa buku akaun.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarahnya, Mohammad Hussin berkata, ini dapat memudahkan semua pelabur terutamanya jika mengalami kehilangan buku.

Para pelabur boleh mendapatkan nombor akaun baharu tersebut di kaunter-kaunter ASNB bermula 28 Jun ini.

Mereka tidak perlu membawa buku pelaburan, sebaliknya hanya perlu mengemukakan kad pengenalan masing-masing bagi mendapatkan nombor akaun baharu tersebut.

“Selama ini jika pelabur kehilangan buku, mereka perlu menjalani proses mendapatkan buku baharu yang renyah termasuk terpaksa mengangkat sumpah serta membuat pembayaran.

“Namun dengan sistem baharu ini, mereka cuma perlu mendapatkan nombor akaun baharu di kaunter-kaunter ASNB dan selepas itu boleh membuat urus niaga termasuk melakukan pengeluaran wang dengan hanya membawa kad pengenalan sahaja.

“Proses ini juga boleh dilakukan di semua rangkaian ejen urusniaga ASNB termasuk Bank Simpanan Nasional, Affin Bank dan Ambank,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohammad, bagi melicinkan proses migrasi dan penambahbaikan sistem, ASNB terpaksa menagguhkan sementera urus niaga Amanah Saham Bumiputera (ASB) selama sehari iaitu pada 23 Jun ini.

“Proses menambah baik sistem operasi untuk semua produk unit amanah ASNB ini telah bermula secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu dan kesemua produk unit amanah telahpun dinaik taraf kecuali ASB,” katanya.

Dengan itu, Mohammad menasihatkan pelabur supaya membuat sebarang urusniaga ASB sebelum tarikh tersebut memandangkan penangguhan tersebut bakal bersambung dengan cuti hari raya Aidilfitri.

“Sebenarnya penangguhan tersebut cuma sehari tetapi ia bersambung dengan cuti hari raya jadi bagi mengelakkan sebarang masalah timbul, para pelabur diharapkan boleh membuat urusniaga dengan lebih awal.

“Kami terpaksa memilih tarikh tersebut kerana proses migrasi dari sistem lama ASB isitu Unit Trust System (UTS) kepada Fund Distribution System (FDS) akan mengambil masa yang lama dan memberi kesan kepada sistem operasi ASB.

“ASNB terpaksa melaksanakannya ketika cuti umum yng panjang bagi mengurangkan gangguan terhadap urus niaga pelabur,” jelas beliau.

Tambah Mohammad, bagi pelabur di Kelantan dan Terengganu yang mana 23 Jun adalah cuti hujung minggu, penangguhan urus niaga ASB hanya dilakukan pada 27 Jun sahaja.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast