Tamim bin Hamad al-Thani

 

DUBAI – Siasatan awal mengesahkan agensi berita Qatar telah digodam dan kenyataan palsu yang dikaitkan dengan pemerintah negara itu yang disebarkan telah menyemarakkan perselisihan dengan negara-negara Teluk, kata Kementerian Luar Qatar.

Pada Isnin lalu, Arab Saudi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan beberapa negara lagi memutuskan hubungan dengan Doha berikutan ulasan ringkas yang disiarkan pada laman sesawang  Qatar News Agency pada 23 Mei lalu.

Artikel tersebut memetik Emir Qatar, Tamim bin Hamad al-Thani memberi amaran terhadap konfrantasi dengan Iran, dan mempertahankan kumpulan Palestin, Hamas dan Hezbollah.

“Kementerian ini menyatakan pasukan penyiasat mengesahkan bahawa proses pemalsuan menggunakan teknik berkemahiran tinggi dan kaedah inovatif dengan mengeksploitkan jurang elektronik pada laman sesawang Qatar News Agency,” kata kenyataan Kementerian Luar.

Ia tidak menyatakan siapa penggodam itu.

 

Para pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Eropah berkata, ketika agensi kerajaan AS dan pakar-pakar yakin agensi berita itu dan Twitter kerajaan Qatar digodam, mereka tidak dapat memastikan siapa yang melakukan perbuatan menggodam itu.

Laporan CNN memetik, pegawai AS memberi taklimat terhadap siasatan itu dan tidak mahu dikenali mengesyaki penggodam Rusia bertanggungjawab. Moscow berkata laporan tersebut adalah palsu.

Seorang pegawai risikan AS berkata, ketika Rusia mempunyai kepakaran dan niat memecah belah sekutu AS dalam kalangan negara-negara Arab, khidmat penggodam Rusia boleh diperolehi oleh negara lain dan kumpulan-kumpulan penjenayah.

Negara-negara Arab berasa janggal dengan dakwaan terhadap Qatar menyokong kumpulan-kumpulan militan dan mendahulukan agenda musuh tradisi mereka, Iran, di rantau itu – Doha menyatakan dakwaan itu tidak berasas.

Para pegawai tentera AS yang membincangkan isu politik itu berkata, pengkalan udara Al Udeid di Qatar adalah penting bagi menyokong tentera AS menghadapi separa tentera Iran dan pasukan ketenteraan yang memihak Presiden Syria, Bashar al-Assad dalam perang saudara di negara tersebut. – Reuters

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast