KUALA LUMPUR – Enam syarikat lebuh raya di bawah Kumpulan Prolintas menyampaikan sumbangan bahan makanan asas kepada 300 keluarga yang kurang berkemampuan dan kewangan kepada 36 buah masjid dan surau di sekitar kawasan lebuh raya menerusi program Ihya’ Ramadan.

Bantuan bahan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, biskut, gula, susu, buah kurma dan lain-lain telah diagihkan oleh warga kerja Prolintas kepada keluarga-keluarga di sekitar Sungai Buloh, Shah Alam, Cheras, Subang, Kota Damansara, Kampung Baru, Pandan, Ampang dan Kajang.

“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban penerima dan sekali gus memberikan sedikit keceriaan sepanjang bulan Ramadan ini,” kata Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

“Prolintas juga turut memberi bantuan kewangan kepada 36 buah masjid dan surau bagi membantu pihak masjid dan surau untuk mengimarahkan bulan yang penuh barakah ini dengan pelbagai aktiviti,”

“Di samping itu, beberapa siri program CSR akan dilaksanakan di lebuh raya-lebuh raya kendalian Prolintas seperti pengedaran bubur lambuk, pelbagai bubur manisan dan kurma kepada pengguna lebuh raya.

“Aktiviti-aktiviti gotong royong juga dilaksanakan bagi membersihkan rumah-rumah golongan kurang berkemampuan yang berhampiran lebuh raya,“ tambah beliau lagi.

Program Ihya’ Ramadan Prolintas ini merupakan salah satu aktiviti tahunan yang berunsur tanggungjawab sosial korporat (CSR) mensasarkan golongan kurang berkemampuan, masjid dan surau.

Penganjuran program yang memasuki tahun keempat ini telah memanfaatkan 1,100 keluarga dan 128 buah masjid dan surau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast