Bangunan Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar hari ini mendedahkan pihaknya telah menerima maklumat melalui sumber kedua bahawa ada rakyat Malaysia telah diganggu secara seksual oleh beberapa diplomat asing.

Bagaimanapun setakat ini, tiada laporan secara rasmi dikemukakan kepada Kementerian, atau ke Jabatan Protokol yang mengendalikan hal ehwal Perwakilan asing di Malaysia.

“Kementerian memandang serius tuduhan gangguan seksual ini, terutamanya yang melibatkan kor diplomatik di Malaysia.

“Mana-mana individu yang menjadi mangsa jenayah oleh mereka yang dilindungi di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 perlu menggunakan mekanisma sedia ada untuk mengemukakan aduan kepada Kementerian Luar Negeri,” tegas kenyataan itu hari ini.

Selain daripada talian telefon selepas waktu pejabat, Kementerian Luar menasihatkan individu berkenaan juga boleh menggunakan saluran e mel [email protected] untuk menyampaikan aduan mereka.

Kementerian memberi menjamin bahawa walaupun ada kekebalan, namun masih terdapat jalan penyelesaian yang dapat memelihara kepentingan pengadu.

“Kementerian akan menyusul tindakan ke atas tuduhan yang serius ini hingga ke penyelesaiannya,” kata dalam kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette