Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

KOTA BHARU – Krisis di negara Teluk tidak menjejaskan pergerakan jemaah haji dari Malaysia yang dijangka menunaikan ibadat itu pada September ini.

Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata beliau bagaimanapun berharap jemaah haji dari negara ini sentiasa mendengar arahan yang dikeluarkan Tabung Haji dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan mereka semasa berada di tanah suci.

“Krisis membabitkan Qatar (dan beberapa negara teluk) tidak menjejaskan pergerakan jemaah haji kita tapi dalam masa sama, saya merayu agar semua jemaah mendengar arahan dikeluarkan Tabung Haji untuk jamin keselamatan mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih Ramadan al-Mubarak 2017 Bahagian Kota Bharu di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas di sini, Sabtu.

Beliau mengulas mengenai beberapa negara Teluk yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar setelah mendakwa negara itu menyokong pertubuhan pengganas.

Januari lalu, kuota haji Malaysia telah dikembalikan kepada 27,900 berbanding 22,230 orang sejak 2013, bagaimanapun pada Mac lepas Abdul Azeez berkata, kerajaan Arab Saudi telah meningkatkan kuota jemaah haji dari Malaysia kepada 30,200 orang.

Beliau berkata seramai 480 petugas Tabung Haji termasuk doktor dan jururawat akan bertugas sepanjang musim haji pada kali ini dengan penerbangan pertama dijangka pada 24 Julai, manakala penerbangan terakhir pada 25 Ogos.

Seramai 1,500 asnaf menerima zakat daripada Yayasan Tabung Haji manakala 1,500 penerima pula terdiri daripada golongan memerlukan, dengan setiap penerima masing-masing menerima RM100 seorang pada Program Ziarah Kasih Ramadan al-Mubarak itu

“Yayasan Tabung Haji mengeluarkan zakat berjumlah RM7 juta pada tahun ini, manakala UMNO dan beberapa badan korporat menyumbangkan RM13 juta bagi menjayakan program berkenaan sepanjang Ramadan tahun ini.

“Sebanyak 65 Parlimen terlibat dengan setiapnya menerima sejumlah RM300,000 untuk diagihkan kepada asnaf dan golongan memerlukan,” katanya.

— BERNAMA