Ali Tinju menyampaikan beras kepada balu bekas tentera, polis dan ibu tunggal di kawasan Bandar Tun Razak, semalam.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia menganggarkan lebih 2,000 rakyat miskin dalam kawasan Bandar Tun Razak terlepas pandang daripada senarai penerima bantuan dan sumbangan pemimpin politik.

Presidennya, Mohd. Ali Baharom berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 500 adalah balu bekas tentera dan polis serta ibu tunggal, selebihnya mereka berpendapatan bawah RM1,000.

Menurutnya, ketika beliau mengadakan majlis penyampaian bantuan, ramai dalam kalangan mereka mendakwa selama ini tidak pernah menerima sebarang sumbangan sama ada daripada parti memerintah mahu pun pembangkang.

“Mereka sendiri meluahkan perkara itu kepada saya. Mereka kata (dakwa) setiap kali majlis diadakan di kawasan itu, mereka tidak pernah dijemput hadir atau nama disenaraikan sebagai penerima bantuan.

“Saya nasihat pemimpin di Bandar Tun Razak, jangan berpura-pura. Apabila pemimpin atasan datang baru mereka tunjuk muka. Rakyat di bawah tahu siapa anda,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali yang dikenali sebagai Ali Tinju, beliau telah menggerakkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Bandar Tun Razak dan menjalankan gerak kerja Sentuhan Hati ke Hati.

Katanya, menerusi program itu, beliau bersama jawatankuasa PPNMM menumpukan penduduk di yang tinggal di perumahan flat, selain sasaran utama adalah balu bekas anggota tentera, polis dan ibu tunggal.

“Dalam program ini, kami hanya menyampaikan sumbangan beras bagi meringankan beban mereka, tetapi kebanyakan daripada mereka adalah golongan yang disisihkan, sedangkan mereka adalah pengundi di kawasan itu,” katanya.

Ujar Mohd Ali, beliau akan mengadakan Himpunan Kasih Sayang di kawasan itu dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap golongan sasar yang tersisih akan menerima bantuan daripada NGO itu.

“Walaupun sumbangan kecil, tetapi sekurang-kurangnya mereka menghargai dan berterima kasih,” katanya sambil menyifatkan pemimpin tempatan tidak pandai mengambil hati pengundi. – MalaysiaGazette