KUALA LUMPUR – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk 18 minggu berturut-turut tahun ini dengan jumlah RM10.39 bilion.

MIDF Research berkata, pelabur asing kekal bersama pasaran tempatan dan terus menyuntik mudah tunai dalam saham-saham di bursa.

Firma penyelidikan itu berkata, para pelabur asing buat belian sejumlah RM249.8 juta dalam pasaran terbuka mengekalkan jumlah belian asing melepasi RM200 juta bagi minggu ketiga.

“Kumulatif pembelian bersih asing pada tahun ini sudah mencecah RM10.39 bilion, mengimbang kira-kira 35 peratus daripada kumulatif aliran keluar bersih yang direkodkan pada tahun 2014-2016,” menurut MIDF Research dalam nota penyelidikannya.

Tambah MIDF, pembelian asing di bursa ketara pada hari Isnin meskipun di tengah-tengah keyakinan lonjakan di Wall Street pada Jumaat minggu sebelumnya, sekali gus mengimbangi jualan marginal pada hari Rabu dan Jumaat

Bagaimanapun, nilai dagangan harian purata asing (ADTV) jatuh hampir separuh kepada RM999 juta berbanding RM1.94 bilion pada minggu sebelumnya.

Ia adalah penurunan terbesar pada tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast