PUTRAJAYA – Wakaf al-Quran adalah program amal jariah mengumpul dana bagi penerbitan al-Quran untuk diwakafkan kepada negara minoriti Islam yang dihimpit kemiskinan.
Program amal jariah ini adalah inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah dilaksanakan sejak tahun 2007.
Pelaksanaan program itu dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan kerjasama Yayasan Restu.
Yayasan Restu adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan usaha penyalinan beratus-ratus lembaran ayat suci al-Quran beriluminasi penuh melengkapi sebuah manuskrip mushaf.
Manuskrip al-Quran disalin tangan menggunakan handam atau batang resam yang diambil dari pokok paku pakis yang hidup liar melata di kaki bukit, manakala ragam motif mengaplikasi khazanah seni visual berlandaskan Islam di setiap negeri di negara ini.
Usaha itu dimulakan pada 1994, yang julung kalinya berlaku di negara ini sejak kejatuhan empayar Kesultanan Melaka pada 1511.
Penghasilan mushaf oleh Yayasan Restu adalah sesuatu yang eksklusif untuk negara kerana teks al-Quran itu adalah hasil salinan tangan anak Malaysia, bukan diambil daripada negara luar.
Pemberian mushaf secara percuma kepada kumpulan minoriti Islam atau pihak yang memerlukannya bertujuan memudahkan mereka membaca, mempelajari dan mengajarkan kepada orang lain di kalangan komuniti mereka.
Program Wakaf al-Quran ini telah memasuki tahun kesebelas pelaksanaan dan lebih 300,000 naskhah al-Quran wakaf telah dicetak dan diagihkan ke negara seperti Kemboja, Indonesia, Myanmar, Nigeria, Australia, New Zealand, Palestin dan memenuhi keperluan organisasi, sekolah serta lain-lain yang memohon di peringkat dalam negara.
Sejak dilaksanakan, pelbagai pihak telah memberi sokongan terhadap program ini terutama beberapa syarikat telekomunikasi.
Sokongan terhadap usaha ini diharap dapat dilonjakkan lagi bagi menzahirkan hasrat supaya Nasyrul Quran dapat mencetak sehingga satu juta al-Quran setahun dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar mushaf kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi.
Tahun ini, persetujuan telah dicapai dengan Kementerian Pendidikan agar program Wakaf al-Quran peringkat kebangsaan diuar-uarkan di peringkat sekolah harian dalam tempoh tiga bulan mulai Jun hingga Ogos ini.
Nasyrul Quran adalah sebuah pusat percetakan al-Quran bersepadu utama di rantau Asia Tenggara yang dibangunkan di atas tanah seluas 5.514 ekar di Presint 14, Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Kos keseluruhan projek itu sebanyak RM60 juta bagi tujuan pembinaan dan pembelian mesin cetak yang dibantu oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Kompleks ini dibina demi pelaksanaan cita-cita murni negara bagi memiliki sebuah pusat pengeluaran al-Quran bertaraf antarabangsa dan kedua terbesar di dunia.
Nasyrul Quran diilhamkan daripada perkataan Arab yang bermaksud “Penyebaran al-Quran”. Ia memberikan gambaran fungsi kompleks ini sebagai pusat penyebaran al-Quran bermula daripada bidang penyelidikan, percetakan, pentafsiran, penterjemahan dalam pelbagai bahasa, penerbitan dan seterusnya pengagihan al-Quran.
Selain itu, pusat ini juga akan menjadi tempat tumpuan penggiat serta penggemar seni khat dari dalam dan luar negara. Ia juga bakal menjadi mercu tanda baharu kemajuan syiar Islam kepada Malaysia dan Putrajaya khususnya.
Fasa 1 pembangunan Nasyrul Quran yang meliputi kawasan kilang dan tempat mesin percetakan telah siap dan akan mula beroperasi.
Sememangnya kejayaan fasa pertama bahagian kompleks percetakan al-Quran ini adalah daripada usaha gigih pelbagai pihak iaitu kerajaan pusat, Yayasan Restu dan beberapa jabatan khususnya KDN dan Perbadanan Putrajaya yang membolehkan Nasyrul Quran beroperasi sempena tarikh peristiwa Nuzul Quran tahun ini.
Yayasan Restu yang diterajui Datuk Abdul Latiff Mirasa telah melaksanakan usaha murni untuk kebaikan ummah ini sejak 30 tahun lalu dan sehingga kini, yayasan itu telah mencetak lebih sejuta naskhah al-Quran untuk masyarakat Islam di dalam dan luar negara.
Nasyrul Quran kini sedang dalam usaha untuk mencetak sebanyak satu hingga tiga juta naskhah al-Quran dalam jangka masa setahun dan dengan kemampuan mesin yang dibeli serta dibawa masuk ke pusat percetakan itu dijangka boleh mencapai jangkaan cetakan berkenaan.
Terdapat 10 projek al-Quran yang sedang diusahakan iaitu;
- Al-Quran Mushaf Malaysia dan terjemahan Bahasa Melayu (untuk Penjara-KDN)
- Al-Quran Al-Karim Malaysia terjemahan Bahasa Cina
- Al-Quran Mushaf Malaysia terjemahan pelbagai bahasa (Tamil, Iban, Orang Asli, Tagalog, Rusia, Khmer)
- Al-Quran Al-Razzaq
- Al-Quran Tajwid
- Al-Quran terjemahan Lafziyyah (perkata) Bahasa Malaysia
- Al-Quran terjemahan Lafziyyah (perkata) Bahasa Inggeris
- Indeks Al-Quran
- Al-Quran Mushaf Malaysia dan terjemahan Edisi Jawi
- Al-Quran Multimedia
Pembukaan Nasyrul Quran ini merupakan petanda baik untuk ummah dan negara ini dalam pembudayaan ilmu al-Quran di kalangan masyarakat.
Seluruh rakyat diminta supaya terus menyokong usaha murni ini. Semoga setiap pengunjung kompleks ini dapat dihadiahkan sebuah mushaf hasil cetakan Nasyrul Quran dan sokongan orang ramai khususnya dalam bentuk sumbangan wakaf sangat bermakna agar legasi al-Quran sebagai usaha dakwah dapat diteruskan pada masa kini dan akan datang. – MalaysiaGazette