KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mempersoalkan tindakan menteri-menteri Barisan Nasional Sabah dan Sarawak yang membangkitkan isu cukai pelancongan ketika ini.
Menurutnya, tindakan beberapa menteri termasuk Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah membangkitkan isu tersebut adalah tidak adil buat Nazri sebagai menteri pelancongan dan tidak adil juga kepada semua menteri Kabinet.
Ia kerana menurut Azalina, keputusan untuk mengenakan cukai pelancongan tersebut sudah dipersetujui dan diputuskan secara kolektif di peringkat Kabinet.
“Apa-apa keputusan merupakan keputusan secara kolektif menteri Kabinet, begitu juga akta pelancongan tersebut, sudah diputuskan dalam kabinet. Semua MP dah bahas termasuk pembangkang dan anggota Kabinet. Sudah pun dipersetujui di Kabinet secara kolektif.
“Kalau menteri Sabah dan Sarawak tidak setuju, mereka perlu bawa ke Kabinet semula. Tapi nak bubar semula, ia agak sukar kerana sudah dipersetujui oleh semua sebelum ini, secara kolektif.
“Saya tidak faham kenapa baru sekarang dipersoalkan? Ketika di Kabinet, tiada pula yang membantah. Saya ada ketika mesyuarat Kabinet tersebut. Semua orang setuju. Ia tidak adil untuk Datuk Nazri,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Rumah Pengasih 2017 di sini, hari ini.
Terdahulu, Sarawak mengambil keputusan untuk keluar daripada Lembaga Pelancongan Malaysia selepas Nazri menempelak Menteri Pelancongan, Kesenian, Budaya dan Sukan Sarawak sebagai menteri baru setahun jagung.
Kenyataan Nazri itu mendapat reaksi beberapa menteri di bumi kenyalang itu dan juga di Sabah termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof. – MalayasiaGazette.