Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Menteri Kewangan 2, Datuk Johari Abdul Ghani selepas merasmikan Latihan Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di banggunan Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 14 JUN 2017

PUTRAJAYA – Pertumbuhan ekonomi bagi tiga negeri di Pantai Timur termasuk Kelantan bakal meningkat sebanyak 1.5 peratus melalui projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ia mampu menjadi tarikan kepada pelabur sama ada dari luar atau pelabur domestik, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan merasmikan Latihan Industri Projek ECRL di sini petang tadi berkata, projek tersebut dilaksanakan berikutan potensi besar yang ada di Pantai Timur yang bakal berkembang pesat pada tempoh lima atau enam tahun mendatang termasuk Pahang dan Terengganu.

“Sudah tentu laluan ini (pantai Timur) akan bertambah sesak dalam masa 5, 6 tahun akan datang. Kita perlu melihat potensi Pantai Timur untuk terus membangun. Kita perlu satu projek yang mampu cetus perubahan yang besar.

“Kalau kita mahu tarik pelabur, salah satu tarikannya adalah perhubungan..dan ECRL ini akan menghubungkan Pantai Timur dengan kawasan tertentu seperti Pelabuhan klang.

“Adalah dijangkakan mengikut kajian kita, adalah dengan terlaksananya ECRL ini kadar pertumbuhan (ekonomi) tiga negeri pantai timur bertambah sebanyak 1.5 peratus lagi. inilah akan memberi kesan yang bermakna sekali,” katanya.

Sehubungan itu, dalam majlis sama, Najib turut mengumumkan seramai 3,600 pelajar bakal menjalani latihan industri bersama projek ECRL tersebut seterusnya boleh diserapkan terus dalam projek ECRL kelak.

“Dengan kita menyediakan peluang latihan ini, maka salah satu komponen penting ialah peluang pekerjaan menjadi realiti. Apabila anak-anak kita ini yang kita latih dalam latihan, kita boleh serap masuk ke lapangan terus,” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast