KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menasihatkan umat Islam agar tidak tenggelam dalam keghairahan menyambut Syawal sehingga melepaskan peluang menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan.

“Saya yakin ramai juga yang sudah tidak sabar dan teruja untuk pulang beraya di kampung halaman bersama keluarga. Persiapan menyambut Syawal pasti sedang giat dijalankan, daripada membeli-belah kepada membuat kuih-muih bersama keluarga.

“Namun begitu, saya berharap kita tidak alpa akan peluang yang diberikan oleh Allah SWT sekali lagi, untuk kita menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan ini.

“Janganlah kita tenggelam dalam keghairahan menyambut Syawal kerana kita mungkin akan terlepas malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul-Qadar,” katanya dalam blog beliau.

Datuk Seri Najib Razak berkata, banyak amalan boleh dilaksanakan ketika mencari Lailatul-Qadar antaranya ibadah sunat seperti solat, membaca Al-Quran, bertasbih, takbir, istighfar, selawat, tahmid dan berdoa.

Beliau turut berkongsikan salah satu doa yang boleh dibaca sebagai satu usaha untuk menemui Lailatul-Qadar yang bermaksud:

“Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pemaaf yang menyukai permintaan maaf, maka maafkanlah aku”. – MalaysiaGazette