Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem (tengah) dan Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye bergambar bersama delegasi Malaysia dan wakil FIOH di hadapan bangunan FIOH di Helsinki.

HELSINKI (FINLAND) – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan bekerjasama dengan Institut Kesihatan Pekerjaan Finland (FIOH) bagi memudahkan pertukaran maklumat dan pengetahuan mengenai isu-isu berkaitan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, untuk itu kedua-dua organisasi akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang turut melibatkan promosi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), terutamanya dalam bidang kesihatan pekerjaan di Malaysia.

“Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kedua-dua organisasi akan berbincang mengenai deraf MoU tersebut yang dijangka ditandatangani di Kuala Lumpur pada bulan September tahun ini,” katanya selepas mengetuai delegasi Malaysia melawat FIOH di Helsinki hari ini.

Turut serta dalam delegasi tersebut ialah Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye, ketua pegawai eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Setiausaha Eksekutif NIOSH Ayop Salleh.

Richard Riot berkata, dalam pertemuan itu, kedua-dua organisasi turut membincangkan mengenai cabaran baru dalam bidang KKP, ekoran pekembangan era digital dan globalisasi yang turut menentukan trend utama suasana pekerjaan di masa hadapan.

Delegasi Malaysia disambut oleh ketua pengarah FIOH Dr Antti Koivula. Beliau turut memberi taklimat mengenai latar belakang FIOH diikuti dengan perbincangan tentang keperluan untuk kedua-dua organisasi bekerjasama bagi menggalakkan budaya KKP yang baik di tempat kerja.

Ketua pengarah FIOH Dr Antti Koivula (kiri) berbincang dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dan delegasi Malaysia di ibu pejabat FIOH di Helsinki.

Lee menyifatkan pertemuan tersebut  sangat produktif kerana dapat membantu mengukuhkan pengetahuan, kerjasama dan perkongsian mengenai KKP di antara FIOH dan NIOSH selain mempromosi latihan dan perundingan di tempat kerja.

Beliau berkata, NIOSH akan membantu menyediakan draf MoU tersebut dan akan mendapatkan persetujuan FIOH sebelum majlis menandatanganinya diadakan pada minggu pertama September tahun ini.

Ditubuhkan pada tahun 1945, FIOH adalah agensi KKP terkemuka di Eropah yang merupakan pakar dalam bidang KKP.

Ia turut menyediakan perkhidmatan penyelidikan, nasihat dan latihan dan beroperasi di bawah Kementerian Hal Ehwal Sosial dan Kesihatan Finland dan mempunyai kira-kira 500 pekerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast