KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyenaraikan sekurang-kurangnya 15 projek yang dijanjikan DAP sejak memerintah Pulau Pinang dari tahun 2008 sehingga kini tidak ditunaikan.
Menurut Pengerusi Nasional Gerakan Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, antara janji kosong DAP itu ialah sistem monorail yang merentasi bahagian pulau dan seberang (tanah besar), mendengar suara rakyat, membanteras penjaga parkir haram, tidak menaikkan tarif air dan memelihara alam sekitar.
Kata beliau, daripada lima janji yang ditabur DAP dari 2008 hingga 2010 itu tidak ada satu pun menjadi kenyataan, sebaliknya hasil tinjauan Gerakan mendapati banyak bukit di kawasan pulau telah gondol.
Begitu juga katanya, DAP turut berjanji hendak mempertahankan kebebasan media, menjadikan negeri itu sebagai hab pendidikan di Balik Pulau, membina terowong dasar laut, menyelesaikan masalah banjir dan menyediakan rumah mampu milik, semuanya tidak dilaksanakan.
“Sebelum ini DAP lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) kononnya gagal menyediakan pembangunan kepada rakyat, tetapi apa yang kita lihat, ia berlaku dalam kerajaan negeri DAP Pulau Pinang.
“Mereka sebenarnya gagal menunaikan janji. Semua janji itu adalah kosong semata-mata,” katanya pada sidang media di Menara PGRM di sini, hari ini.
Jelas Dr. Dominic, lima lagi janji yang ditebur DAP sepanjang memerintah Pulau Pinang ialah untuk membina sistem pengangutan aliran ringan (LRT) pada 2013, berjanji tidak menaikkan cukai pintu, lessen perniagaan, bayaran perkhidmatan dan cukai tanah, juga berjanji menyediakan laluan khas bas, pasar malam Chow Rasta dan menyediakan rangkaian jalan raya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Apa daripada janji-janji itu yang telah ditunai atau dilaksanakan oleh kerajaan Lim Guan Eng? Tidak ada satu pun yang mereka terjemahkan kepada rakyat.
“Bahkan, dalam tempoh 11 tahun memerintah, sebanyak empat kali kerajaan DAP menaikkan tarif air dan lebih lima bukit yang menjadi destinasi pelancongan telah dibotakkan untuk projek yang tidak ada kaitan dengan kepentingan rakyat,” tegasnya.
Beliau mahu rakyat Pulau Pinang menilai sendiri pentadbiran kerajaan DAP di negeri itu sejak mula mengambil alih pemerintahan dari BN pada pilihan raya umum 2008.
Jelas Dr. Dominic, jika Guan Eng dan barisan kepimpinannya tidak berkemampuan untuk melaksanakan 15 projek yang dijanjikan itu, lebih baik menyerahkan saja pentadbirannya kepada Gerakan pada pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette