Jadual TTA yang dicadangkan oleh ANIH Berhad sebagai rujukan pemandu ke Pantai Timur.

 

KUALA LUMPUR – ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan pemberian diskaun tol 10 peratus kepada semua kelas kenderaan yang menggunakan Touch ’n Go dan SmartTag.

Pemberian insentif ini akan bermula dari jam 12 pagi hingga 11.59 malam pada 25 Jun 2017.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, diskaun tol diberikan adalah sebagai menghargai pengguna yang menggunakan KLK dan LPT 1 pada hari raya.

Selain daripada pemberian diskaun, syarikat juga menyediakan Jadual Cadangan Waktu
Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke Pantai Timur pada musim perayaan ini.

”Apabila pengguna mematuhi TTA ini, ia secara tidak langsung dapat membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada sesuatu masa yang sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga menyebabkan kesesakan,” katanya.
Katanya, jumlah kenderaan dijangka meningkat sebanyak 73.8 peratus kepada
245,000 kenderaan daripada kira-kira 141,000 kenderaan yang menggunakan dua lebuh raya berkenaan pada hari-hari biasa.

Waktu puncak pada musim perayaan ini dijangkakan bermula dari 22 hingga 24 Jun 2017 (bagi kenderaan yang akan ke Pantai Timur) dan 27 hingga 28 Jun dan 1 hingga 2 Julai 2017 (bagi kenderaan yang pulang ke Kuala Lumpur). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast