BATU KURAU – Satu formula baharu bagi menetapkan harga minyak akan diumumkan minggu depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Katanya, langkah itu bagi memastikan kestabilan industri minyak domestik.
Kementerian itu, katanya akan mengadakan mesyuarat dengan peserta industri minyak minggu depan bagi membincangkan formula itu.
“Rakyat mesti bersimpati dengan pengendali stesen minyak yang mengalami kerugian apabila harga minyak jatuh. Mereka (pengendali stesen minyak) merasakan menjadi mangsa (apabila harga jatuh,” katanya selepas menghadiri Iftar Ramadan.
Hamzah berkata, beliau akan meminta kerajaan membantu pengendali stesen minyak yang terjejas teruk akibat ketidaktentuan dalam harga minyak.
Harga minyak menyaksikan trend penurunan sejak kebelakangan ini.
Sejak 1 April lalu, harga minyak RON95, RON97 dan diesel ditetapkan secara mingguan berbanding bulanan sebelum ini. – MalaysiaGazette