Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media selepas selesai mengadakan lawatan kerja di Blok 6, Desa Mentari, Petaling Jaya. foto IQBAL BASRI, 10 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Setelah ditempelak Exco perumahan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad sebagai mencari publisiti murahan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar menasihatkan agar Iskandar turun sendiri ke kawasan yang menjadi pertikaian mereka.

Perang mulut antara Noh dan Iskandar berlarutan lagi hari ini apabila Noh mendakwa Iskandar tidak mengambil berat tentang pangsapuri di kawasan DUN Chempaka.

“Saya nasihatkan Datuk Iskandar Exco Perumahan supaya turun sendiri ke kawasan yang saya lawat dan tengok sendiri apa yang saya katakan.

“Jangan hanya tahu nafi kerana saya persoalkan tanggungjawab kerajaan negeri itu kerana ramai penduduk DUN Chempaka mengadu kepada saya semasa turun padang baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Iskandar semalam berkata kerajaan negeri telah banyak membelanjakan RM2.7 kita kepada sembilan kawasan pangsapuri untuk skim baik pulih.

Malah katanya, pangsapuri kos rendah Pandan Utama yang dilawati Noh telah dipilih untuk program Smart Life namun kini ia terletak di atas tangan kerajaan persekutuan untuk membaiki lif-lif di kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai itu, Noh berkata “Saya fikir mungkin disebabkan bila merasakan rahsia mereka mengabaikan masalah rakyat dah terbongkar,”. -MalaysiaGazette.