KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan serius mahu melihat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Akademik Latihan Tentera (ALT) bertanggungjawab dalam kejadian buli melibatkan kematian seorang pelajarnya baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, satu rombakan besar-besaran akan dilakukan kementeriannya selepas menerima cadangan daripada UPNM nanti.
“Mereka (UPNM) tidak boleh lepas tangan begitu sahaja dalam hal ini. Saya kini sedang menunggu cadangan daripada UPNM untuk merombak pengurusannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi perjumaan bersama Setiausaha UMNO Bahagian, Negeri dan Setiausaha Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Mengenai kes 26 pelajar yang didakwa di mahkamah, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, 13 daripada mereka didakwa atas kes membunuh, manakala 13 pelajar lagi akan ditentukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
“Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sudah menjawab kedudukan 13 pelajar lagi itu,” katanya.
Mengenai siasatan insiden pesawat Hawk terhempas, Hishammuddin berkata, beliau mahu siasatan secara telus dan terperinci dilakukan.
Setakat ini, katanya, pesawat Hawk masih lagi mampu menjalankan tugas dalam peringkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan belum bercadang memikirkan penggantian pesawat lain.
“Cuma insiden itu kita kena siasat betul-betul dan kita kena bawa keluar bangkai pesawat yang terpendam itu untuk siasatan.
“(Insiden) ini memang menyedihkan dan kita dah mendekati keluarga mereka. Saya tengok mereka reda, sabar dan mereka tahu ini sebahagian daripada tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh setiap anggota tentera,” katanya.- MalaysiaGazette