Mahawa Dahalan (kanan) bersama anaknya, Shida Muhamad (kiri) mengemas barang dan peralatan rumah mereka yang terjejas berikutan banjir yang melanda di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Sekeluarga 17 beranak tidak dapat melupakan insiden cemas apabila air naik mendadak sehingga menenggelami rumah mereka di Hulu Langat, Selangor semalam.

Setiap hujung minggu keluarga Mahawa Dahalan, 68, memang berkumpul di rumahnya Sungai Serai dan begitu juga semalam terutama sepanjang hujung minggu di bulan Ramadan.

Bagaimanapun semalam nasib mereka tidak baik kerana rumah dinaiki air paras dada dan tidak dapat menyelamatkan sebarang barang berharga.

Temubual bersama, Mahawa Dahalan berkaitan banjir di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2017.

Mahawa menceritakan pengalaman cemas waktu sedang membuat persiapan untuk berbuka bersama tiga anak dan menantunya, cucunya anak saudara yang duduk berjiran.

Menurutnya, ketika sedang menunggu azan Maghrib, tiba-tiba air sudah naik hampir dua anak tangga di depan rumah mereka dan menyebabkan mereka kelam-kabut untuk menyelamatkan barang-barang penting.

“Air itu datang selepas waktu Asar, waktu itu kami semua tengah siap-siap nak berbuka.

“Masa itu sudah nampak air naik, masa 7.30 malam buka-buka pintu air sudah naik depan tangga rumah,” katanya semasa ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Mahawa berkata,  ia satu yang mengejutkan apabila tiada sebarang amaran awal diberitahu, secara tiba-tiba melihat air sudah naik di depan rumah.

Lebih mencemaskan Mahawa apabila ramai anak-anak kecil yang merupakan cucunya berada dalam waktu itu sedang menunggu waktu nak berbuka.

“Anak kecil ramai waktu itu dalam rumah, makcik hanya risaukan kalau-kalau perkara buruk berlaku kepada cucu makcik ini sebab air naik dengan cepat.

“Lagi pun arus air agak kuat dan beralun kerana air yang turun dari atas hulu Perdik,” kata beliau.

Di kawasan Hulu Langat, selalunya air mula penuh di Sungai Perdik dan kemudiannya arus itu dibawa ke bawah sehingga lah ke Batu 9.

Mahawa berkata, walaupun banjir di kawasan tersebut selalu berlaku, tapi ia kali pertama berlaku semasa bulan Ramadan dan lebih mencabar ia berlaku seminggu sebelum sambutan hari raya.

“Memang banjir selalu berlaku disini, tapi ini kali pertama seminggu nak raya banjir melanda. Habis baju raya anak cucu saya, kasihan mereka,” katanya dengan nada sayu.

Dalam pada itu, anak perempuannya, Shida Muhammad, 31, mengakui sedih melihat keadaan rumah yang berselut dan barang-barang keperluan seperti mesin basuh, peti ais dan televisyen semua sudah lemas dalam air.

“Sedih memang sedihlah, lagi sedih apabila setiap kali banjir macam ini semua barang keperluan ini kena beli baharu.

“Macam banjir tahun 2012 lalu, semua barang rosak dan terpaksa diganti dengan yang baharu. Macam kali ini pun sama, harap-harap barang yang ditenggelami banjir jni dapat boleh guna lagi sahaja lah,” kata Shida semasa ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Shida, keadaan semalam menjadi cemas apabila bantuan bot penyelamat tiba lambat dan mereka anak beranak terpaksa menunggu tiga jam sebelum dibawa keluar ke rumah perlindungan.

Temubual bersama Shida Muhamad, berkaitan banjir di Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2017.

“Saya call pasukan penyelamat pukul 8 malam dan mereka memberitahu bot penyelamat akan datang menyelamatkan kami tapi kami menunggu berjam-jam sehingga pukul 10 malam tidak satu bot pun yang datang,” katanya.

Menurut Shida, bot penyelamat  datang apabila dia menelefon buat kali kedua sambil mengugut rumah keluarganya sudah hampir tenggelam baharulah  bot pasukan penyelamat sampai kira-kira setengah jam selepas itu.

“Dekat tiga jam lebih tunggu, bot tak sampai-sampai. Hinggalah saya telefon sekali lagi bomba dan memberitahu mereka ‘biarlah kami mati lemas, baharulah setengah jam kemudian bot penyelamat  sampai,” katanya yang mempunyai anak kecil 10 bulan.

Shida dan emaknya melahirkan rasa syukur apabila dibawa keluar daripada kawasan banjir dan dibawa ke pusat penempatan sementara di Sekolah Sungai Serai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast