KOTA BHARU – Pas telah berbincang dengan Kerajaan Pusat untuk membuat persediaan bagi menghadapi sidang Parlimen pada akhir bulan depan bagi membahaskan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perbincangan itu diadakan bagi memastikan sesi perbahasan tersbeut berjalan dengan lancar biarpun bakal berdepan dengan tentangan hebat Pakatan Harapan yang diketuai DAP.
Beliau bagaimanapun yakin RUU 355 dapat dibahaskan dengan baik dan seterusnya diluluskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.
“Berhubung RUU 355, sebenarnya kita sudah ada perbincangan dengan kerajaan Pusat. Pada masa ini, masih terlalu awal menceritakan mengenai perbincangan tersebut.
“Apa strategi kita, saya tidak boleh bagi tahu, namun Pas bersedia untuk berhadapan di Dewan Rakyat nanti,” katanya di sini hari ini.
April lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan untuk menyambung perbahasan mengenai RUU 355 pada sesi persidangan akan datang iaitu dari 24 Julai hingga 10 Ogos.
Bagaimanapun keputusan itu telah mencetuskan kemarahan Ahli Parlimen DAP, PKR dan PAN yang mendesak agar mereka dibenarkan membahaskan usul yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, Pas akan hanya menjalinkan kerjasama dengan PKR dan PPBM sekiranya kedua-dua parti itu memutuskan hubungan dengan DAP dan PAN.
Kata beliau, pihaknya sentiasa terbuka untuk menjalinkan hubungan dengan kedua-dua parti itu dan yakin sekiranya PKR dan PAN menyertai gabungan yang ditubuhkan Pas, mereka lebih gagah daripada Pakatan Harapan.
“Kita membuka ruang pada semua kecuali DAP dan PAN sahaja. Kita yakin tiga parti ini (Pas, PKR dan PPBM) jika bergabung potensi untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) semakin cerah,” katanya. – MalaysiaGazette