Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri (tengah) menemani anak-anak Syria dari Jasmine Ash Sham Education Centre membeli belah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Quill City Mall, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Seramai 42 anak Syria yang terpaksa berhijrah dan menetap di Malaysia akibat berdepan peperangan hari ini diraikan dalam satu program membeli belah hari raya yang ditaja oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Tujuan program tersebut menurut menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bagi membantu meringankan beban mereka yang mengalami kesusahan peperangan dan memberikan kegembiraan sama seperti yang dirasai oleh anak-anak kecil lain yang akan menyambut hari raya.

“Jadi, kita hari ini bantu mereka dengan membelikan persiapan daripada segi pakaian untuk mereka menyambut hari raya nanti

“Dengan begini, mereka juga akan dapat rasai keseronokan hari raya, itu sahaja lah tujuan kita,” kata Ismail Sabri semasa ditemui di pusat beli belah Quill City Mall.

Menurut beliau lagi, ia menjadi tanggungjawab Malaysia sebagai tuan rumah untuk memberikan kegembiraan dan layanan baik kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

“Amat wajar bagi kita yang berada di negara aman seperti Malaysia ini, mereka tinggal sini

“Sepanjang mereka berada disini, ia menjadi tanggungjawab untuk kita gembirakan mereka dengan memberikan layanan yang baik kepada mereka,” katanya.

Kanak-kanak Syria ini di bawah jagaan Malaysia Life Line for Syria dan bersekolah di Jasmine Al-Syam, Setiawangsa.

Menurut CEO kumpulan tersebut, Syahrir Azfar Saleh, semua kanak-kanak tersebut
dibawa masuk ke Malaysia bawah program penempatan sementara migran Syria yang dikendalikan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita sudah ada kira-kira 50 pelajar dan hari ini yang datang adalah seramai 42 orang.

“Ini kali pertama mereka dapat beli baju raya,” katanya.

Dua kanak-kanak Syria, Abdul Razak Zakaria, 13 dan Raha Muhamad, 7 yang ditemui teruja dan gembira apabila dibawa untuk membeli belah bersama rakan-rakan lain.

“Sangat gembira hari ini, dapat membeli belah bersama rakan-rakan. Seronok dapat baju raya,” kata Abdul Razak.

Raha yang petah bercakap bahasa Melayu juga turut berkongsi kegembiraannya dapat membeli pakaian hari raya baharu sama seperti anak-anak kecil lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast