Abdul Rahman Dahlan

CYBERJAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dilihat terdesak untuk mengangkat kembali Pengerusi parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku perdana menteri pembangkang, demikian menurut Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Malah katanya, tindakan Zaid itu menggambarkan seolah-olah Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai pemimpin lain selain Mahathir yang mampu diketengahkan sebagai calon.

“Begitu ramai (pemimpin) dalam pembangkang yang boleh jadi Perdana Menteri, tapi kena perlu pilih seorang yang begitu kontroversi? Macam tidak ada harapan dengan parti pembangkang ini,” katanya.

Zaid dalam entri blognya, turut menyenaraikan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Seloroh Abdul Rahman, rakyat diminta untuk berdoa kepada tuhan sekiranya angan-angan Zaid untuk melantik Mat Sabu direalisasikan.

“Mat Sabu jadi Minister of Defence, god help us all.” (Mat Sabu jadi Menteri Pertahanan, Tuhan tolonglah kami semua),” katanya.

Antara lain dalam senarai Kabinet Bayangan Zaid adalah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilantik selaku Menteri Wilayah Persekutuan; Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman selaku Menteri Belia dan Sukan.

Manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dinyatakan Zaid. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast