Home Ekonomi AirAsia tambah 14 Airbus

AirAsia tambah 14 Airbus

AirAsia Bhd telah menandatangani perjanjian dengan Airbus S.A.S untuk membeli tambahan 14 buah pesawat Airbus A320 CEO yang akan dihantar pada 2018 dan 2019.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, 10 pesawat akan dihantar pada tahun depan dan bakinya pada 2019, masing-masing dilengkapi dengan reka bentul “sharklet” pada hujung sayap bagi menjimatkan bahan api.

“Perjanjian tambahan pembelian pesawat ini telah ditandatangani di Paris pada 22 Jun lepas,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut AirAsia, sama seperti penghantaran pesawat sebelumnya, pembelian tambahan ini akan dibiayai oleh gabungan pinjaman, rizab dalaman dan wang tunai yang dijanakan oleh operasi syarikat.

Katanya, sumber-sumber pembiayaan luar adalah termasuk tetapi tidak terhad kepada pinjaman jaminan kredit eksport, pinjaman komersil Islam serta konvensional dan transaksi jualan serta pajakan semula.

Pesawat-pesawat itu adalah sebagai tambahan kepada 399 pesawat yang akan dihantar dalam tempoh 12 tahun sehingga 2028. Sehingga sekarang, AirAsia telah menerima 171 A320 CEO dan lapan pesawat A320 NEO.

Kata syarikat itu, peluang untuk menambah lagi model A320 NEO sebagai tempahan dalam tangannya pada 2018 dan 2019 adalah terhad memandangkan ia merupakan produk terbaharu Airbus dan kapasiti pengeluaran masih kecil.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast