Zainal Abidin Osman
KUALA LUMPUR – UMNO Pulau Pinang yakin dapat merampas kerusi Permatang Pauh daripada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
Mengulas mengenai itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, UMNO Permatang Pauh mempunyai stategi kukuh dalam mendepani rakyat Permatang Pauh.
Katanya, tempoh 18 tahun yang diberikan kepada pembangkang sudah terlalu lama berpandukan pembangunan minimum yang diterima di situ berbanding kawasan sekitarnya mutakhir ini.
“Kali ini kita nak rampas balik Permatang Pauh, kita akan buat yang terbaik, ada beberapa perancangan yang dibuat di situ untuk rampas kembali Permatang Pauh. Selama 18 tahun orang Permatang Pauh berada dalam kerugian, kalau kita lihat ahli Parlimen di kawasan lain, mereka dapat peruntukan RM6 juta setahun.
“Kalau 10 tahun Permatang Pauh berada dalam BN, sudah ada RM60 juta peruntukan. Kita boleh beri pelbagai kemudahan kepada Permatang Pauh, tapi orang Permatang Pauh terlalu tertekan dengan isu emosi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Permatang Pauh memerlukan pemimpin anak tempatan yang boleh mendepani rakyat kawasan itu setiap hari dan bukannya calon bidan terjun semata-mata untuk mengelakkan penguasaan individu berbanding keperluan masyakat setempat, katanya.
“Mereka harus ‘move on’. Pilih orang baru, anak tempatan dan mereka yang boleh duduk di sana dan bantu masyarakat. Kita mahu ahli Parlimen yang duduk di sana 30 hari sebulan, dan bantu orang sudah,” ujar Zainal Abidin lagi.
Permatang Pauh kini diwakili Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mewakili suaminya Datuk Seri Anawar Ibrahim.
Pada 2015, Wan Azizah mengekalkan kerusi itu buat kali kedua apabila menewaskan calon BN, Shuhaimi Shabudin dengan majoriti menyusut kepada 8,841.
Ketua Pembangkang itu turut menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang mengakibatkan fokus untuk kedua-dua kawasan itu terjejas.
“Dia (Wan Azizah) jarang balik, hanya sebulan sekali. UMNO Permatang Pauh yang banyak bantu, bila berlaku banjir dan ribut, kamilah yang turun padang. Tapi bila undi, mereka undi PKR.
“Ini tidak adil, biarlah kali ini beri peluang kepada ahli Parlimen Permatang Pauh yang lain, ang boleh berkhidmat dan menjiwai perasaan orang Permatang Pauh kerana anak tempatan,” tambah Zainal.
Wan Azizah dijangka mempertahankan kerusi Permatang Pauh dan Kajang pada PRU14 kelak kerana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjalani hukuman penjara selama lima tahun setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantunya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast