Mangsa banjir kilat di Alor Gajah dan Jasin ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara berikutan hujan lebat yang melanda sejak tengah malam tadi sehingga menyebabkan air sungai melimpah.

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka telah mengaktifkan jentera bantuan banjir bagi menyelaras dan memantau bencana berkenaan yang melanda beberapa kawasan di negeri ini terutama di Durian Tunggal di Alor Gajah dan Tehel di Jasin.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata misi bantuan banjir berkenaan akan dipengerusikan sementara oleh Pegawai Kewangan negeri Datuk Roslan Ibrahim kerana Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Naim Abu Bakar sedang bercuti.

“Kita telah bersiap sedia dan empat kawasan pemindahan banjir di Durian Tunggal telah dibuka setakat ini dan jumlah mangsa yang dipindahkan agak ramai mungkin kerana ramai yang beraya di kampung.

“Banjir ini berlaku kerana hujan turun lebih empat jam sejak dua hari kebelakangan ini dan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan banjir akan diagihkan kepada mangsa yang terlibat pada Khamis atau Jumaat ini selepas kerja penyelarasan dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya penduduk di negeri ini terutama di kawasan yang kerap berlaku banjir disaran sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir di kawasan mereka ekoran hujan lebat berterusan melebihi beberapa jam.

Idris berkata mereka juga diharap mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak berlaku sebarang tragedi atau kemalangan yang boleh meragut nyawa kerana aliran deras mungkin berlaku terutama di kawasan saliran atau parit.

“Kita harap ibu bapa atau masyarakat sentiasa memantau perkembangan cuaca dan berada dalam keadaan bersiap sedia. Letakkan barangan berharga di tempat yang selamat sebagai langkah awal bagi mengelak kemusnahan harta benda,” katanya.

Seramai 149 mangsa banjir kilat di Alor Gajah dan Jasin ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara berikutan hujan lebat yang melanda sejak tengah malam tadi sehingga menyebabkan air Sungai Durian Tunggal, Sungai Melaka dan Sungai Tehel melimpah dan membanjiri lima kawasan di negeri ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast