Home Ekonomi Indeks Harga Pengeluar bulan Mei naik 8%

Indeks Harga Pengeluar bulan Mei naik 8%

KUALA LUMPUR – Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat kepada 8.0 peratus pada Mei 2017.

Kenaikan tertinggi dicatatkan oleh indeks perlombongan (+16.9%) diikuti oleh pembuatan (+7.6%), pertanian, perhutanan dan perikanan (+6.4%), bekalan elektrik dan gas (+3.0%) dan bekalan air (+0.3%).

Jabatan Perangkaan dalam kenyataan berkata, IHPR pengeluaran tempatan turun 0.2 peratus pada Mei 2017 berbanding April 2017.

Ini disebabkan oleh penurunan dalam dua sektor iaitu perlombongan (-6.7%) dan bekalan elektrik dan gas (-0.3%).

Sementara itu, pertanian, perhutanan dan perikanan naik (+2.5%), bekalan air (+0.4%) dan pembuatan (+0.3%).

IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan turun 0.2 peratus pada Mei 2017 berbanding bulan sebelumnya.

Penurunan Ini disebabkan oleh penyusutan dalam indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (-1.7%).

Manakala, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen merekodkan peningkatan 0.4 peratus dan indeks barang siap tidak mencatatkan sebarang perubahan.

Berbanding bulan yang sama setahun lalu, IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan bagi Mei 2017 naik 8.0 peratus.

Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (+11.3%), bahan perantaraan, bekalan dan komponen (+10.1%) dan barang siap (+1.4%). – MalaysiaGazette