Naib Presiden PAS, Idris Ahmad
KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilihat bagaikan ‘Abang Long’ dalam Pakatan Harapan (PH) apabila tanpa segan silu membuat percaturan politik di Kelantan lebih awal mengatasi ketuanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, veteran DAP itu tidak perlu berebut jawatan dalam Majlis Presiden PH, sebaliknya cukup dengan kuasa untuk mencatur siapa yang dikehendaki dalam pakatan pembangkang itu.
“Sahlah memang DAP merupakan Abang Long di dalam PH. Ketika penyokong Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hendak tabal siapa yang akan mengetuai PH, Lim Kit Siang tidak perlu sibuk berebut untuk menempatkan diri sebagai ketua.
“Begitulah suasana politik negara, walaupun DAP tidak menjadi Perdana Menteri, tetapi hala tuju kepimpinan akan disusun oleh DAP apabila PH menang nanti,” katanya dalam posting terbaru di akaun Facebooknya.
Beliau mengulas kenyataan terbuka Kit Siang yang menyokong Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu sebagai calon Menteri Besar Kelantan sekiranya PH berjaya memenangi pilihan raya di negeri itu.
Kit Siang menyatakan sokongan kepada Husam dalam sebuah majlis sambutan Aidilfitri anjuran DAP cawangan Suara Muda, Kebun Sultan dan Gajah Mati di Kota Bharu, semalam.
Idris selaku Ahli Parlimen Bukit Gantang berasa hairan apabila pemimpin PH secara tiba-tiba mahu merampas Kelantan sedangkan negeri itu diperintah PAS dan bukan UMNO.
“PAS masih pembangkang di negara ini. Kenapa tidak sibuk untuk tawan Johor, Melaka dan negeri yang sewaktu dengannya.
“Saya harap pemimpin PH masih normal,” katanya.
Beliau juga berkata, sekiranya PH memenangi pilihan raya di Kelantan nanti, sejauh mana mereka akan mengekalkan Enakmen Jenayah Syariah il 1993 (pindaan 2015).
“Apakah nasib Kelantan sama seperti Terengganu selepas UMNO menang pada tahun 2004 sehingga Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 disimpan begitu sahaja.
“Adakah DAP redha dengan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan? Sedangkan enakmen inilah menjadi pertikaian hebat ketika PAS bersama Pakatan Rakyat,” ujarnya.
Katanya lagi, rakyat Kelantan tidak rela pembangunan Islam yang dibina selama ini musnah begitu sahaja dam pengundi negeri itu sudah tahu apa agenda UMNO dan PH jika mereka berkuasa.
“Alhamdulillah pemimpin PAS yang mentadbir Kelantan tidak lagi dituduh salah laku oleh SPRM. Pemimpin yang cakap serupa dengan bikin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast