KOTA BHARU – Rakyat di negeri ini diberi kebebasan sepenuhnya untuk memilih Menteri Besar di antara calon yang dicadangkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau nama yang dibawa sendiri oleh bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, semasa hidup, Nik Abdul Aziz telah memilih Datuk Ahmad Yakob yang juga timbalannya sebagai penggantinya, Menteri Besar Kelantan.
Beliau berkata, ini kerana allahyarham melihat dan menilai sendiri keupayaan Ahmad melaksanakan tugasnya sejak mula menjadi wakil rakyat sehingga diangkat sebagai Timbalan Menteri Besar.
“Jadi rakyat boleh pilihlah sama ada mahu Menteri Besar yang dipilih oleh DAP (Husam) atau Menteri Besar yang dipilih oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz untuk mentadbir Kelantan,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah berceramah di Dewan Perniagaan Cina di sini menamakan Husam yang juga bekas Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan sebagai Menteri Besar jika pakatan itu menang dalam PRU-14.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menyifatkan Husam sebagai contoh bagi rakyat negeri ini dan Malaysia selepas ketiadaan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kit Siang juga menggunakan kesempatan ceramah itu dengan menggesa rakyat menukar Kerajaan Pas Kelantan bagi menyelamatkan negeri ini.