KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjual sejumlah RM298 juta ekuiti tempatan minggu lalu, aliran keluar terbesar pada tahun ini.
MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, penjualan paling tinggi pada hari Jumaat, dengan pelupusan bersih melonjak kepada RM228.4 juta kerana pengurus dana merasionalisasikan kedudukan memandangkan suku kedua akan berakhir.
Menurutnya, pelabur asing membeli sejumlah RM344.4 juta ekuiti tempatan, kadar paling rendah tahun ini.
Bagaimanapun, pelabur asing telah membina kedudukan kukuh di Bursa Malaysia pada separuh pertama tahun ini, dengan belian enam bulan berturut-turut, kata firma itu.
MIDF Research berkata, pembelian asing kumulatif di bursa melonjak dengan ketara kepada RM10.2 bilion atau dianggarkan AS$2.3 bilion pada separuh pertama, tertinggi di Asia Tenggara
Tempat kedua adalah bursa Jakarta dengan lebihan AS$1.3 bilion.
Tambah MIDF Research, penyertaan asing pada minggu lalu cukup memberangsangkan meskipun tempoh urus niaga pendek dengan dagangan asing aktif pada hari Rabu dan Jumaat dengan nilai melepasi RM1 bilion pada kedua-dua hari.
Nilai purata dagangan harian (ADTV) asing naik sebanyak 26 peratus pada minggu itu kepada RM1.24 juta berbanding RM989.6 juta. – MalaysiaGazette