PASIR GUDANG – Tiga pekerja asing ditemukan lemas selepas bot yang mereka naiki dipercayai hanyut sebelum terdampar di perairan Tanjung Langsat, di sini, malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian disedari pukul 11.18 malam selepas tiga pekerja sebuah syarikat di Felda Semenchu gagal pulang menaiki bot gentian kaca menuju ke bandar Masai melalui laluan laut.
“Kehilangan mereka diketahui selepas bot yang digunakan ditemui tersadai di pantai Tanjung Langsat oleh nelayan tempatan, yang kemudian membuat laporan kepada pihak polis.
“Tidak lama selepas itu, pada pukul 12:19 pagi, Singapore Police Coast Guard (SPCG) mengesahkan penemuan satu mayat di perairan Changi, Singapura yang kemudian dikenal pasti sebagai lelaki warga Nepal,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pasukan bomba seterusnya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.53 pagi tadi dan segera mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang ke lokasi kejadian.
“Operasi yang diketuai Komander Operasi Sarhan Akmal Mohamad itu dijalankan menggunakan bot aluminium dengan pencarian di sekitar Kebayan, Tanjung Langsat dan jeti berdekatan.
“Hasil operasi, dua lagi mangsa ditemukan iaitu pada pukul 11 pagi membabitkan seorang lagi warga Nepal yang ditemukan oleh SPCG di Pulau Tekong, Singapura.
“Kemudian pada pukul 3.34 petang, mayat seorang warga Indonesia, ditemukan oleh Polis Bantuan Tanjung Langsat Port, kira-kira 50 meter dari Jeti Port Park Tanjung Langsat,” katanya.
Operasi berkenaan katanya, melibatkan 14 anggota bomba, lima anggota PDRM dengan dua kenderaan serta dua anggota Polis Bantuan Tanjung Langsat Port bersama-sama sebuah bot.
Operasi tamat pada pukul 5.25 petang selepas semua mayat diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette
















