Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi amaran kepada kerajaan yang kemungkinan akan kehilangan undi Melayu jika tidak ada usaha menghalang Kementerian Kesihatan mengecualikan kelulusan Bajasa Melayu bagi pengambilan doktor dan pegawai perubatan lantikan kontrak.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, orang Melayu akan terjemahkan kemarahan mereka itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan tidak memberi undi kepada calon UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Justeru, katanya, wajar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan isu ini kerana ia melibatkan maruah orang Melayu serta Perlembagaan Negara Fasal 153.

Katanya, Perkasa juga memandang serius kenyataan terbaharu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam membawa cadangan pengecualian itu ke Kabinet.

“Saya terkejut dengan kenyataan Ahmad Zahid ini yang menunjukkan selama ini mana-mana kementerian sesuka hati membuat dasar dan peraturan sendiri tanpa terlebih dahulu membentangkannya ke Kabinet.

“Pengecualian kelulusan Bahasa Melayu bagi jawatan besar seperti doktor dan pegawai perubatan adalah kes besar, tetapi Kabinet tidak tahu. Ini yang mengecewakan Perkasa.

“Tidak mustahillah dari semasa ke semasa ramai pihak cuba mencabar Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan keistimewaan Melayu,” katanya pada sidang media di pejabat Perkasa di sini, hari ini.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan pegawai perubatan gred UD41.

Dr. Noor Hisham berkata, kelonggaran itu merangkumi graduan perubatan luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Melayu di universiti dan beberapa kategori lain.

Ditanya apakah pendirian Perkasa ada kena mengena dengan kepentingan politik, Dr. Ibrahim berkata, Perkasa adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan apa yang diperjuangkan adalah berdasarkan kepada perundangan negara.

“Kenyataan balas kita mengenai isu pengecualian Bahasa Melayu adalah mengikut pertimbangan kita, bukan berdasarkan politik,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, Perkasa tidak akan berdiam diri dengan isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan Fasal 153, pihak tidak teragak-agak membawanya ke mahkamah.

“Biar mahkamah yang menentukan. Kita tak akan membawa ke jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Perkasa melalui peguamnya menghantar surat menuntut Kementerian Kesihatan menarik balik kenyataan berkaitan pengecualian kelulusam Bahasa Melayu.

Surat dua muka surat itu diserahkan peguam, Azam Aziz Shaharudinali ke kementerian itu hari ini, dan memberi tempoh tujuh hari. – MalaysiaGazette