Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kiri) menyampaikan duit raya kepada anak-anak dari Pusat Jagaan Amal Asyura sambil diperhatikan Pengerusi PAAB, Datuk Seri DIRaja Tajol Ghazali (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Mahadzir Mustafa (tengah) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pengurusan Aset Air Berhad di TPC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meskipun ramai penganalisa meramalkan ekonomi Malaysia bakal berkembang mencecah lima peratus tahun ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, unjuran rasmi kerajaan iaitu 4.3 peratus sehingga 4.8 peratus masih dikekalkan.

“Kita tunggu prestasi suku kedua sebelum membuat sebarang semakan baharu.

“Buat masa ini, kami masih mengekalkan unjuran sedia ada,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB) di sini hari ini.

Beberapa firma penyelidikan dan bank melakukan semakan menaik unjuran KDNK negara didorong oleh pemulihan positif terutamanya dalam sektor eksport dan perbelanjaan swasta.

Semalam, Pusat Kajian Sosio Ekonomi (SERC) mengunjurkan ekonomi Malaysia bakal mencecah lima peratus tahun ini sejajar dengan peningkatan eksport, penggunaan dan pelaburan swasta.

Pengarah Eksekutif SERC, Lee Heng Guie berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan perkembangan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2017 didukung oleh peningkatan permintaan domestik dan eksport yang lebih tinggi.

Tambah beliau, suku pertama 2017 adalah mencatatkan rekod suku paling kukuh dalam tempoh hampir dua tahun sejak Q215.-MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast