KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar hairan kenapa Datuk Iskandar A. Samad bagai ‘cacing kepanasan’ apabila beliau mendedahkan kelemahan kerajaan Selangor.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak menyangka Exco kerajaan negeri itu turut ‘menyerang’ dengan unsur politik terhadapnya.
“Beliau (Iskandar) menuduh saya lebih gemar berpolitik dan mahu saya digantikan dengan pemimpin lain yang lebih rasional.
“Saya hairan dengan sikap tidak matang Iskandar dalam berhadapan isu sebenar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Noh, apa yang dilakukannya di Selangor khususnya dalam menyelesaikan masalah rakyat di kawasan perumahan khususnya Projek Perumahan Rakyat (PPR) dilaksanakan secara ikhlas dan tidak mempunyai kaitan dengan politik.
“Saya hanya menyelesaikan masalah yang dikemukakan kepada saya oleh rakyat tanpa mengira siapa pun mereka, di manapun mereka tinggal dan siapa wakil rakyat mereka tetapi malangnya apabila saya ikhlas menegur kegagalan Kerajaan Negeri Selangor dalam soal tersebut, Iskandar `menyerang’ saya.
“Beliau menganggap saya mahu berkonfrantasi dengan kerajaan negeri dan mengugut bahawa Kerajaan Negeri Selangor akan membatalkan keistimewaan yang diberikan kepada Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PA1M),” ujar Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu.
Bagi Noh, tindakan Iskandar tidak profesional dan tidak matang untuk berhadapan dengan realiti apabila wujudnya masalah atau teguran yang dibuat demi kebaikan rakyat.