Rais Yatim

KUALA KLAWANG – Warga belia Melayu diminta agar terus memelihara warisan silat seni pusaka agar ia tidak pupus dan dilupai.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia,Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, seni silat ini ialah warisan pusaka bangsa Melayu yang tidak harus dilupakan.

Sebaliknya seni pertahanan diri itu perlu dimartabatkan kembali kerana nilai-nilai kesepaduan dan nilai permaufakatan sesama bangsa diwujudkan secara halus dalam seni silat ini.

Seni silat ini menjadi lambang kepada penyatuan sesebuah bangsa, lantaran itu, anak muda bangsa Melayu perlu mencintai seni pertahanan diri silat ini agar lebih ramai menyertai persatuan-persatuan silat yang ada dinegara ini.

“Walaupun telah banyak seni pertahanan diri di negara ini wujud seperti taekwando, karate dan sebagainya tetapi siapa lagi yang perlu menjaga dan memelihara seni ini jika bukan bangsa Melayu sendiri,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyampaian sijil perkhataman senjata tradisional persenjataan seni tombak dan lembing yang dianjurkan oleh Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia(PSSGM) yang berlangsung di Jeram Toi, di sini.

Pada majlis tersebut, seramai 35 orang peserta kursus menamatkan latihan yang datang dari lima buah negeri.

Tambah Rais, warga belia perlu menjadi agen pemelihara warisan, adat dan budaya bangsa Melayu kerana mereka bakal menjadi pemimpin dan pewaris pusaka bangsa pada masa hadapan.

“Anak muda kini adalah menjadi pewaris dan pencorak masa hadapan negara. Meskipun berada dalam kemodenan, mereka tidak perlu melupakan sejarah, warisan,budaya dan adat,” katanya. – MalaysiaGazette